Khamis, 12 Mac 2009

kecantikan sejati

 Menginginkan kecantikan dan suka kepada kecantikan tidak menjadi satu kesalahan. Ia adalah fitrah semulajadi manusia. Semua orang, tidak kira yang cantik ataupun yang hodoh, sukakan kecantikan. Bukan itu sahaja, Tuhan yang kita sembah itu pun sangat cantik. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam satu hadisnya, Allah itu indah dan suka pada keindahan. Keindahan Allah terletak

pada sifat-sifat kesempurnaan-Nya.

 

 

Allah juga cinta pada keindahan, sebab itulah Islam yang diturunkan oleh Allah untuk menjadi anutan manusia ini juga sangat indah. Dan salah satu ciri keindahan Islam ialah ajarannya sangat cocok dengan fitrah semula jadi manusia. Jika ada orang yang mengatakan Islam itu tidak indah, bukan Islam yang tidak indah tetapi jiwa orang itu yang tidak indah. Begitu jugalah dunia ciptaan Allah ini, ia juga sangat indah.

 

Wanita juga adalah ciptaan Allah dan tentu sahaja wanita cantik. Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan pelbagai manusia, maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanita itu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya. Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendek kata kecantikan itu sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

 

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi. Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut, tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

 

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh- Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Kecantikan ini jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Kecantikan akhlak adalah satu yang abadi. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

 

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran yang cerdik. Nafsu menilai pada bentuk tubuh yang menarik. Tetapi hati pula

menilai kecantikan pada akhlak dan budi. Dan kecantikan akhlak ini lebih diterima oleh semua orang berbanding kecantikan wajah dan tubuh badan.

 

Misalnya, orang jujur, siapa pun sukakannya. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, dan fizikal, penilaian manusia tetap tidak sama.

Macam-macam tafsiran boleh didapati. Jika ada yang meletakkan kecantikan pada hidung, ada pula yang menyatakan kecantikan terletak pada mata. Pepatah mengatakan, 'beauty is in the eye of beholder'. Sejajar dengan erti kecantikan yang hakiki, Rasulullah s.a.w juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara justeru kecantikannya. Dan kecantikan ini memberi manfaat kepada semua orang. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik. Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat.

 

Sebaliknya, melalui pengalaman hidup, kita dapati ramai wanita cantik yang musnah dirinya dan memusnahkan orang lain. Kenapa terjadi demikian? Ada ungkapan yang berbunyi, 'kemusnahan akan menimpa jika wanita mula merasai dirinya cantik dan mempamerkan kecantikan'. Mungkin kenyataan ini ada benarnya. Tetapi hakikatnya, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka itu akan menyebabkan pemiliknya akan hilang kawalan

diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran.

 

Lihatlah di sekeliling kita. Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah. Ramai wanita cantik telah diperalatkan ke arah aktiviti-aktiviti kemungkaran.

Kecantikan mereka telah dieksploitasi oleh nafsu dan kepentingan duniawi semata-mata.

 

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah r.a, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

 

Oleh itu dapatkanlah kecantikan sejati. Carilah wajah hati dan rupa budi yang menawan. Ingatlah bahawa kecantikan itu bermula dari dalam ke luar.

Bukan sebaliknya. Oleh itu, pertama, tanamkan di dalam hati kita iman berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Kemudian iman ini

buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah

akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, tapi jangan buruk perangai.

 

Begitu juga, rambut yang dianggap sbg "mahkota wanita" itu hendaklah ditutup. Ini bukanlah bererti menutup kecantikan wanita. Kecantikan itu

tidak seluruhnya terletak pada rambut, hingga menutup rambut boleh menghilangkan kecantikan wanita. Ya, memang rambut mahkota wanita, justeru mahkotalah ia tidak boleh dipamerkan sesuka hati. Ratu hanya memakai mahkota

dalam majlis-majlis tertentu, di hadapan orang-orang tertentu. Dia tidak memakai mahkotanya ke pasar, ke tempat-tempat awam kerana takut akan ada orang yang merompak atau mencurinya.

 

Begitulah rambut kepada wanita, jika ia dianggap mahkota maka ia perlu disimpan dengan baik. Ditutup dengan kain yang sopan. Dan hanya dipamerkan kepada orang yang berhak yakni kepada suaminya. Tidak, kecantikan wanita

tidak akan terlindung hanya dengan dia menutup tudungnya, kerana ada banyak kecantikan lagi yang boleh dipamerkannya. Misalnya, kecantikan tuturkata, tingkah laku dan budi pekerti.

 

Bagaimana masih boleh kelihatan cantik walaupun telah menutup aurat? Seperti yang telah dikatakan tadi, jagalah hal-hal yang lain yang boleh dipamerkan. Misalnya, wajah kita biarlah bercahaya, pakaian kita kemas, muka kita bersih

dan pandangan kita lembut. Bahagian muka dan tangan yang dibenarkan bolehlah dijaga dengan sebaik-baiknya. Begitu juga dengan kekemasan pakaian.

 

Janganlah menutup aurat sahaja yg dpertahankan tetapi kebersihan dan kekemasannya diabaikan. Itu juga menjadi kewajipan. Walaupun anda tidak cantik tetapi ini tidaklah bermakna anda harus merasa malu. Ini kerana anda mesti punya kelebihan tersendiri yang boleh menarik hati orang lain kepada anda. Apakah kelebihan itu? Ya, anda sendiri mesti mengetahuinya dan itulah nanti yang anda perlu manfaat untuk membuang rasa malu tidak bertempat yang singgah di hati anda sekarang.

 

Untuk mendapat kasih sayang, anda tidak perlu cantik. Tetapi apa yang penting ialah berikanlah kasih sayang. Jika anda mula memberi, insya-Allah

akan anda akan menerimanya semula nanti. Rupa sesebuah keluarga bukanlah terletak hanya pada wajah anggota keluarga itu, tetapi yang lebih penting ialah pada akhlak dan kebaikannya. Anda tidak boleh mengubah wajah anda, tetapi anda boleh mengubah kelakuan anda. Dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik.

 

Ramai orang yang mukanya buruk dan sederhana sahaja tetapi apabila kita dekati dan gauli, semakin hari semakin menawan pula. Sudah terlindung

hidungnya yang pesek dek akhlaknya yang baik. Anda boleh menjadi orang itu. Dan percayalah anda akan disayangi bukan sahaja oleh keluarga anda dan orang lain bahkan Allah juga akan menyayangi anda. Burulah kecantikan yang sejati,

kerana di situlah ketenangan dan kebahagiaan abadi!

 

P/S: Rupa cantik, akhlak baik....bertuah

Rupa buruk, akhlak teruk...kesian..

WASIAT TERAKHIR RASULALLAH

WASIAT TERAKHIR  RASULLALAH

 

 SEBELUM baginda wafat, ada banyak perkara buruk yang diperingati junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah:

 

Umat Islam akan melakukan penyelewengan dari ajaran Islam yang sebenar, seperti yang dilakukan kaum Bani Israil.

 

 

Baginda menyebut perihal kaum Bani Israil kerana penyelewengan mereka adalah seburuk-buruk contoh yang wajib dijauhi dan disingkirkan.

 

Meskipun mereka pada mulanya diberikan pelbagai nikmat dan keistimewaan, diturunkan kepada mereka kitab suci dan diutuskan beberapa banyak nabi dan rasul, tetapi kebanyakan mereka tetap kufur, ingkar dan terus melakukan pelbagai jenayah serta kekejaman di sepanjang sejarah kaum itu.

 

Mereka sudah runtuh akhlaknya, hilang lenyap perikemanusiaannya dan berpecah-belah kepada pelbagai puak dalam kepercayaan dan fahamannya serta mengadakan pelbagai helah untuk memutarbelitkan ajaran dan hukum agama.

 

 

 

Mereka juga menimbul dan mengembangkan pelbagai fahaman seperti fahaman komunis, kapitalis dan sebagainya yang merosakkan ketenteraman dan susunan masyarakat serta perekonomian negara dunia yang dijalarinya.

 

Bahkan, merekalah yang mengembangkan kebudayaan kuning dan melanggar tata tertib serta kesopanan melalui filem, akhbar, majalah, fesyen pakaian dan kelab malamnya sehingga mereka berhak dilaknat Allah, malaikat, rasul dan seluruh umat manusia yang berperikemanusiaan.

 

 

 

Baginda juga pernah mengingatkan dengan tegas sebagaimana yang disebut dalam salah satu hadisnya iaitu bahawa umatnya akan terpengaruh dan menjadi pak turut dengan membuta tuli kepada segala apa jua yang datangnya dari kaum Yahudi dan Nasrani.

 

Rasulullah s.a.w. menyebut kedua-dua kaum itu secara khusus kerana selain diutuskan rasul, merekalah saja yang berpengaruh dan banyak angkara pada zaman Rasulullah.

 

 

 

Kalau kita diingatkan supaya jangan terpengaruh dengan penyelewengan kaum yang diberikan kitab dan pimpinan itu, maka wajib kita menolak bulat-bulat segala apa yang cuba disogokkan kaum yang tidak diberikan kitab dan tidak pula menerima pimpinan rasul.

 

Contohnya, kaum Majusi, komunis, atheis dan sebagainya yang cuba menyogok kita dengan perkara yang bertentangan dengan dasar Islam seperti yang berlaku dan dapat disaksikan pada zaman kita ini.

 

 

 

Apa yang diperingatkan Rasulullah s.a.w. mengenai penyelewengan yang akan berlaku di kalangan umatnya itu sudah pun berlaku dan menjadi kenyataan. Pada zaman sekarang ada orang Islam yang suka meniru bulat-bulat apa yang datang daripada orang bukan Islam, meskipun perkara yang ditiru itu bertentangan dengan ajaran dan akhlak Islam.

 

Antara perkara itu ialah perbuatan sesetengah wanita Islam, selain tidak mematuhi al-Quran yang menyuruh mereka menutup kepala meliputi belahan leher bajunya, mereka pula membesarkan hiasan kepalanya dengan pelbagai cara termasuk menggunakan rambut palsu.

 

 

 

Ada pula yang menghaluskan bulu keningnya. Ada yang berpakaian tetapi mereka seolah-olah telanjang kerana nipisnya kain dan tidak menutup aurat. Ada juga yang berjalan di khalayak ramai dengan cara tidak sopan seperti lagak perempuan jahat.

 

Ada juga perempuan yang memakai pakaian lelaki serta berlagak seperti lelaki sedangkan segala perbuatan sedemikian dikutuk Islam. Selain itu, ada wanita yang rela mempamerkan badannya seperti menggunakan pakaian yang sempit dan singkat, mendedahkan aurat, sengaja memperlihatkan bentuk badan dan sebagainya yang bertentangan dengan hukum dan kesopanan Islam.

 

 

 

Ada wanita yang keluar dari rumah dengan menggunakan pelbagai hiasan yang menarik perhatian dengan menggunakan berjenis-jenis bedak muka dan gincu bibir serta memakai bau-bauan yang harum. Pada hal, semua itu dan segala perhiasan digalakkan dilakukan di rumah khusus untuk suaminya.

 

"Wanita Islam dilarang memperlihatkan hiasan tubuhnya kecuali kepada suami dan orang lelaki yang menjadi mahramnya serta orang yang tertentu." (Surah Al-Nur: 31).

 

 

 

Lelaki juga tidak terkecuali daripada perkara buruk. Ada lelaki Islam yang sudah hilang perasaan cemburu terhadap isterinya serta perempuan di bawah jagaannya, sehingga dia hampir-hampir bersifat seperti orang dayus yang dikutuk Islam dan diharamkan Allah daripada memasuki syurga-Nya.

 

Ada juga lelaki yang berlagak dan berhias seperti perempuan dan yang memakai pakaian perempuan. Semua yang dilakukan lelaki atau wanita itu adalah haram dan dikutuk, bukan saja tidak akan masuk syurga malah tidak dapat mencium baunya, sedangkan bau syurga boleh dihidu dari jarak yang jauh.

 

 

 

Akan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam mengenai akidah kepercayaan dan amalan agama, seperti yang berlaku kepada kaum Bani Israil, pada hal perpecahan sedemikian bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

 

Semua puak yang berpecah itu salah dan sesat kecuali satu saja, iaitu puak yang tetap menurut jalan pimpinan Rasulullah s.a.w. dan bawaan sahabatnya, dengan tidak mengurangi, menokok tambah atau menyelewengkan sedikit pun.

 

 

 

Akan timbul dalam kalangan umatnya beberapa puak yang dijalari bahaya penyakit hawa nafsu suka mengurangi, menokok tambah atau menyeleweng dari jalan yang sebenar, seperti menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya.

 

Ingatan tegas dan jelas yang diberikan Rasulullah s.a.w. itu adalah supaya umatnya tetap menurut jalan pimpinannya dan bawaan sahabat-sahabatnya.

 

Sabtu, 7 Mac 2009

Apakah yang mencantikkan wajah?

Al-Ahnaf Bin Qais ialah seorang ulama yang terkenal di zamannya. Suatu hari seorang pemuda dari suku Tai'yi berkunjung ke rumahnya. Rumah Al- Ahnaf memang sentiasa dikunjungi oleh orang ramai terutamanya anak- anak murid dan sahabat handainya. Mereka yang datang itu adalah untuk tujuan berlajar dan menuntut dari beliau. Bagaimanapun kedatangan pemuda dari suku Tai'yi ini amatlah menarik perhatian Al-Ahnaf.


Al-Ahnaf mendapati pemuda ini sangat segak dan tampan, berbeza dari pemuda yang sebaya dengannya. Lalu Al-Ahnaf pun bertanya,"Wahai anak muda! Ada kamu menghiasi wajah mu dengan sesuatu?"

Jawab pemuda,"Memang benar, saya ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu iaitu jika saya bercakap saya tidak pernah berbohong. Kalau ada orang yang sedang bercakap, saya hanya duduk diam dan mendengar. Jika saya berjanji, saya akan tepati janji itu dan jika saya diberikan amanah, saya tidak mengkhianatinya."

Mendengar jawapan yang bernas itu maka berkatalah Al-Ahnaf,"Benar akan kata-kata mu itu wahai anak muda. Sungguh engkau telah menghiasi diri mu dengan akhlak mulia."

Sekian buat renungan bersama.

" kerja Tuhan siapa yang tahu"